Wednesday, October 22, 2008

matlamat Negara Islam

Menurut Islam, menjadi pemerintah ialah untuk mencapai matlamat, bukannya menjadi matlamat. Mewujudkan Negara Islam itu ialah memungkinkan kita melaksanakan perintah Allah dan ini tidak boleh dilakukan secara individu. Menegakkan negara Islam ini terkandung di dalam matlamat melaksanakan perintah Allah SWT yang di gariskan kepada tiga perkara,
1. Matlamat Khulafah. Iaitu tugas yang maha besar yang diisytiharkan oleh Allah kepada para malaikat. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat. Sesungguhnya Aku akan jadikan di muka bumi itu khalifah."
Para ulama mentakrifkan Khulafah itu sebagai “Mengalang-ganti keNabian di dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya (iaitu dengan agama).
Dari takrif tersebut, kita dapati dua unsur terpenting di dalam tujuan kejadian manusia.
· Menjaga agama
· Mentadbir dunia
Menjaga agama dilakukan dengan melaksanakan dua perkara pokok.
a) Menegakkan Islam dengan menyatakan kepada manusia seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA dengan menyatakan apakah Islam yang sebenar kepada seluruh manusia dan membuktikan kebaikan ajaran dan hukum-hukumnya di samping mempertahankan dari musuh.
b) Melaksanakan Islam dengan mengamalkan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya dalam semua urusan. Termasuk juga di dalamnya urusan bermasyarakat dan bernegara. Menyeru dan mengajak manusia kepada melaksanakan perintah agama dan bertindak ke atas sesiapa yang tidak melakukannya, di samping mencegah kemungkaran dan kejahatan dengan kuasa pemerintah.
Mentadbir dunia dengan agama ialah menghayati bahawa urusan dunia itu termasuk juga di dalam urusan agama. Ia mestilah patuh kepada perintah agama. Apa yang dimaksudkan ialah segala urusan negara yang membawa kepada kebaikan dan menolak keburukan tidak akan sempurna dan tidak dapat disempurnakan melainkan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT terutamanya perkara-perkara yang berhubung dengannya.
1. Menegakkan keadilan di kalangan manusia
2. Membentuk pandangan yang mulia dan kebebasan pendapat yang bermaruah.
3. Menghormati taraf kemanusiaan.
4. Menegakkan keamanan dan kestabilan
5. Menyediakan keperluan rakyat
6. Menggalakkan perkembangan kemajuan negeri dan rakyat
Apa yang disebutkan di atas itu ialah suatu contoh di zaman beliau.
2. Di antara matlamat Negara Islam itu ialah menunaikan amanah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit bumi, bukit bukau dan gunung ganang, semuanya enggan memikul amanah itu dan khuatir mengkhianatinya, lalu dipikul amanah itu oleh manusia, sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil.
3. Ibadah Allah (Pengabdian kepada Allah)
Menurut ajaran Islam, semua manusia adalah hamba Allah SWT, sama ada rakyat biasa ataupun pemimpin. Mereka tertakluk di bawah tujuan asal mereka diciptakan.Setiap orang Islam yang menjadi pemerintah mestilah beriman dengan segala ajaran Islam. Di antaranya ialah berhubung dengan pemerintahan. Mereka diwajibkan tunduk kepada apa yang ditetapkan oleh Allah SWT di atas sifat mereka sebagai hamba Allah. Sebarang langkah tidak percaya atau meminda hukum, mencipta hukum sendiri adalah pelampau batasan Allah SWT dan berlagak menyanggah Tuhan dan membatalkan Iman.
Demikianlah secara ringkas, tentang Konsep Negara Islam dan Matlamatnya, semoga menjadi renungan bersama ke arah menegakkan keadilan Illahi dan bertindak menentang kezaliman, untuk kebahagian manusia seluruhnya di dunia dan di akhirat.
Wallahu aklam.

No comments: